Penurunan prestasi menjadi kebimbangan utama Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, apabila tiada sebarang latihan dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Rabu lalu.

Mahu atau tidak, Kenny sudah menjangkakan penurunan prestasi pemain negara, merujuk kepada tiadanya sesi latihan tekal setiap hari.

"Sudah tentu ia perkara pertama yang saya risaukan.

"Ini kerana kecergasan termasuk perlawanan adalah amat penting buat atlet.

"Mereka seharusnya setiap masa berada dalam keadaan kompetitif.

"Wabak ini begitu serius, mahu tidak mahu saya (terpaksa) akui bahawa ia memang mengganggu," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Perkara itu menjadi keresahan utamanya, apatah lagi sehingga kini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung melanjutkan tempoh kelayakan sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Boleh dikatakan kita sudah tahu siapakah yang akan layak ke Sukan Olimpik kalau tidak berlaku anjakan (ranking).

"Dalam erti kata lain, pintu sudah ditutup" tambahnya.

Seiring dengan kejayaan perseorangan negara, Lee Zii Jia, menghuni ranking ke-10 dunia, ia dianggap berita gembira tetapi ia tiada kena dengan masa dan situasi yang dialami dunia ketika ini.