"Saya mengaku ada rasa hilang arah," kata pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying, yang kehilangan tempat latihan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diaplikasikan di seluruh Lembah Klang pada ketika ini.

Peningkatan kes positif COVID-19 di seluruh negara memaksa kerajaan mengenakan PKPB di seluruh kawasan berisiko, termasuk Lembah Klang, bermula semalam dan mengulas mengenai situasi itu, Liu Ying, yang sedang memburu slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, berkata kepada Nadi Arena: "Saya mengakui kami sedikit hilang arah kerana sudah rancang semua perkara tetapi perlu melupakannya.

"Latihan dan kejohanan semuanya sudah dirancang, jadi ada sedikit hilang arah.

"Kami perlu berbincang dengan banyak pihak, termasuk BAM (persatuan Badminton Malaysia), untuk melihat bagaimana prosedur (yang ditetapkan).

"Ada sedikit kekecewaan tetapi jika melihat kepada Sukan Olimpik, saya rasakan ia berbaloi.

"Apa yang paling penting, kami mesti layak ke Sukan Olimpik terlebih dahulu.

"Sekarang ini, kami tidak boleh berlatih di luar, jadi kami ada berbincang dengan BAM untuk mengizinkan kami berlatih di sana.

"Tetapi mereka mahu kami menjalani ujian swab dan selepas mendapat keputusannya barulah kami akan berbincang bila kami dapat masuk (latihan).

"Saya agak tertekan, saya ada berbincang dengan (pasangan beregu, Chan) Peng Soon kerana saya rasa dia lebih sukar memandangkan dia sudah berkeluarga dan mempunyai empat orang anak.

"Jika dia masuk ke BAM, agak sukar juga untuk keluarganya berbanding saya.

"Tetapi jika kami tidak berlatih bersama, ia agak sukar juga.

"Kami masih belum berbincang dengan BAM kerana masih menantikan keputusan (ujian swab) dan jika semuanya baik, kami akan berbincang mengenai langkah seterusnya," katanya.