Persatuan Badminton Malaysia (BAM) lega berikutan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengambil langkah menangguhkan semua kejohanan sehingga Julai depan.

Kejohanan di bawah kelolaan badan induk dunia itu terpaksa ditunda dalam usaha membendung wabak koronavirus baru (Covid-19) daripada terus membelenggu komuniti badminton dunia.

Penundaan itu menyaksikan tujuh kejohanan jelajah dunia BWF musim 2020 dikeluarkan daripada kalendar jelajah dunia BWF termasuk Terbuka Malaysia selain Terbuka Thailand, Indonesia dan Australia.

Begitupun, BAM juga gusar tentang penjadualan semula kalendar 2020.

"Apa yang dirisaukan kami ialah perasaan beraksi dalam pertandingan, itu sedikit kekurangan yang kami rasakan.

"Saya percaya apabila situasi lebih terkawal, kami boleh kembali menjalani latihan.

"Jadi kami merancang untuk mengadakan kejohanan simulasi dalam kalangan pemain negara untuk mengaktifkan momentum kejohanan buat mereka," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, kepada wartawan Nadi Arena, Nurul Syakirah Zulkifly, melalui temu bual video hari ini.

"Tanpa kejohanan dalam tempoh lima bulan mungkin akan 'lari' sikit.

"Kami perlu dapatkan sentuhan semula tetapi penundaan itu ada kebaikannya.

"Sekurang-kurangnya kami ada masa untuk membuat persiapan selepas PKP," kata pemain beregu lelaki negara, Soh Woi Yik, ketika dihubungi.

Pemain beregu profesional, Teo Ee Yi, turut berpandangan pemain akan mengambil sedikit masa untuk kembali membiasakan diri dengan persembahan sebenar.

"Kami memerlukan seminggu hingga dua minggu untuk mengembalikan prestasi.

"Kalau sudah lama tidak beraksi, rentak pasti akan 'lari'."