Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berdepan cabaran unik dalam memastikan status Olimpian yang layak ke Tokyo 2020 tidak dibayangi kontroversi proses kelayakan.

"Saya tidak setuju. Semua keringat yang telah diusahakan pemain-pemain harus dihargai. Saya percaya BWF akan mendapatkan jalan penyelesaian yang adil buat setiap pemain," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.

Choong Hann bagaimanapun berpandangan tempoh sehingga tarikh baru Sukan Olimpik Tokyo 2020 diumumkan akan menjadi kelebihan buat bakat muda negara.

Perseorangan dan beregu lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang sudah selangkah ke Tokyo berdasarkan proses kelayakan yang sepatutnya luput 30 April ini dicanang Choong Hann sebagai prospek pingat jika Sukan Olimpik dianjurkan pada 2021.

"Program yang mantap dan berfungsi dengan baik. Kami percaya dengan hala tuju yang tepat akan memberikan peningkatan yang berterusan dalam kalangan pemain negara. Saya yakin mereka mampu menampilkan permainan yang lebih berkualiti pada tahun akan datang."

Sementara itu, Zii Jia yang meraikan ulang tahun kelahiran ke-22 hari ini 29 menginginkan dunia kembali pulih daripada pandemik covid-19.

Susulan itu, dia menyambut baik penangguhan Tokyo 2020 ketika skuad negara sudah hampir sebulan tidak menjalani latihan.

Bagi Zii Jia, jika segalanya kembali seperti sedia kala, dia menegaskan keupayaan ke Sukan Olimpik yang dijangka dilangsungkan musim panas 2021 sebagai pemain dalam kelompok lima terbaik dunia.

"Sukan Olimpik telah ditangguh ke tahun hadapan. Buat masa ini, kami hanya kekal berada di rumah dan tiada aktiviti di gelanggang. Tiada latihan sepanjang masa ini sebelum menghadapi Sukan Olimpik adalah perkara yang kurang baik.

"Bagaimanapun, saya masih lagi meletakkan sasaran untuk terus mendaki ranking dunia dan kelompok lima terbaik mahu dicapai selepas ini," kata Zii Jia.