Covid-19: BWF beku ranking dunia

Oleh Bernama 1 April 2020 2819
Covid-19: BWF beku ranking dunia
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengambil keputusan untuk membekukan ranking dunia dan ranking remaja dunia susulan penggantungan kejohanan antarabangsa mulai pertengahan bulan lalu akibat pandemik COVID-19.

Badan induk dunia itu, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pembekuan ranking dunia akan dikembalikan kepada minggu ke-12 iaitu kejohananan antarabangsa terakhir, Seluruh England 2020 di Birmingham dari 11 hingga 15 Mac lalu.

 Ia berkata senarai ranking yang dikeluarkan 17 Mac lalu akan menyediakan asas untuk pendafataran dan menentukan pemain pilihan pada kejohanan antarabangsa akan datang.

“Buat masa ini, sukar untuk diramalkan bila kejohanan antarabangsa seterusnya akan diadakan dengan kejohanan pada Mei dan Jun dijangka ditangguhkan,” kata BWF.

BWF berkata Suruhanjaya Atlet menyokong penuh pembekuan ranking dunia sambil menambah bahawa prosedur yang tepat untuk menarik balik pembekuan akan ditentukan berdasarkan maklumat kalendar kejohanan yang kini disemak semula.

Bagaimanapun, menurut BWF, pembekuan ranking dunia itu tidak diguna pakai untuk sistem kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang ditangguh kepada tahun depan.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen