Choong Hann tuntut usaha tinggi skuad negara

Oleh Nafis Abdullah 28 Februari 2020 101
Choong Hann tuntut usaha tinggi skuad negara
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, menuntut skuad negara memperkasakan prestasi dalam misi memburu slot Sukan Olimpik Tokyo 2020 di sebalik isu penularan wabak COVID-19.

Masa kian suntuk buat Malaysia terutama gandingan beregu lelaki dan campuran untuk menempah slot ke Tokyo selepas beberapa kejohanan yang menjadi medan meraih mata kelayakan dibatalkan termasuk Terbuka Jerman yang sepatutnya berlangsung bulan depan. 

Tidak menafikan ianya satu perkara yang membimbangkan, namun Choong Hann mengambil pendekatan meningkatkan prestasi dalam baki kejohanan kelayakan khususnya Seluruh England. 

"Kami perlu yang terbaik. Kami tidak jauh daripada sasaran, hanya beregu lelaki dan beregu campuran. Kami harus fokus dalam satu atau dua kejohanan. Itu sudah cukup untuk kami layak berbanding risau dengan peluang yang hilang," katanya.

Choong Hann turut menegaskan situasi yang melanda kem negara ketika ini memerlukan konsentrasi dan kekuatan mental pemain dalam mengharungi jadual padat yang mencabar. 

Setakat ini, kem negara berpeluang cerah melayakkan diri dalam setiap acara di Tokyo kecuali dalam saingan perseorangan wanita. 

"Apa yang penting, saya rasa masa ini perlu gementar. Kami harus lebih fokus dan tenang, tumpukan perhatian kepada latihan selain membentuk keyakinan diri."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen