Choong Hann tidak risau ramai pemain senior cedera

Oleh Muzaffar Musa 17 Ogos 2020 131
Choong Hann tidak risau ramai pemain senior cedera
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, tidak risau dengan deretan kecederaan yang dialami pemain senior negara dalam Kejohanan Jemputan BAM di Akademi Badminton Negara (ABM), Bukit Kiara yang berakhir semalam.

Jelasnya, masalah itu mampu diatasi dengan bantuan teknologi sains sukan yang dimiliki Malaysia.

Kejohanan Jemputan BAM menyaksikan kehebatan pemain muda dalam bersaing dengan pemain yang lebih senior.

Antara yang mencuri tumpuan ialah Ng Tze Yong, yang mengungguli acara perseorangan lelaki.

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada kejayaan itu benar-benar hasil daripada kemampuan mereka atau disebabkan pemain senior lain terpaksa menarik diri lebih awal?

"Bagi saya, kecederaan adalah sesuatu yang normal dalam sukan profesional kerana sukan profesional adalah mengenai memaksa badan anda sentiasa berusaha ke batasannya, terutama dalam kejohanan di mana tahapnya juga tinggi.

"Ia menujukkan pemain amat serius dengan kejohanan ini walaupun ia hanya kejohanan dalaman.

"Kami akan melihat bagaimana untuk menguatkan lagi pemain daripada aspek fizikal dengan bantuan sains sukan, bagaimana untuk memastikan mereka pulih dengan lebih baik selepas perlawanan sukar.

"Harap-harap kami dapat meneruskan lebih lagi kejohanan seperti ini," katanya.

Antara pemain yang terpaksa menarik diri gara-gara kecederaan adalah perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, selain Goh Soon Huat, Liew Daren dan Soong Joo Ven.

Bercakap mengenai Zii Jia, Choong Hann mengesahkan pemeriksaan awal mendapati pemain itu tidak mengalami kecederaan serius tetapi masih perlu menunggu lampu hijau daripada pemeriksaan lanjut minggu ini sebelum dibenarkan untuk kembali berlatih.

"Daripada pemeriksaan awal pakar fisioterapi kami, ia tidak kelihatan serius tetapi kami akan mendapatkan info yang lebih konkrit apabila dia berjumpa doktor tidak lama lagi.

"Selepas itu, kami akan mendapat maklumat bagi menyediakan program pemulihannya," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen