'Ibarat susun jadual untuk dua kejohanan', lambakan pemain dalam acara perseorangan lelaki memaksa Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, untuk menilai semula format pertandingan dalaman yang bakal diadakan.

Berbanding pemain dalam acara lain, perseorangan lelaki memiliki 13 orang termasuk pemain profesional serta pemain dalam tempoh percubaan.

Ia bakal memberi kesukaran daripada sudut jadual apatah lagi perancangan asal badan induk itu untuk menganjurkan kejohanan dalaman yang berformatkan liga sepusingan.

"Terdapat lima perlawanan (pusingan awal hingga final) yang perlu dihadapi seseorang pemain dalam setiap kejohanan. Malaysia memiliki 12 pemain perseorangan dan kami akan membahagikan kepada dua divisyen bagi memastikan setiap pemain dapat mendapatkan semua suasana pertandingan," kata Choong Hann.

Bagaimanapun kejohanan dalaman itu tetap akan diteruskan, dan dijangka bermula penghujung Ogos bagi membantu pemain dapatkan semula sentuhan dalam saingan sebenar.

Kali terakhir pemain badminton negara beraksi dalam kejohanan kompetitif adalah ketika saingan Seluruh England Mac lalu.