Pelantikan Wong Choong Hann sebagai Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baru lebih kena dengan selera warga tempatan berbanding kepakaran asing yang mempunyai kredibiliti lebih besar.

Daripada perspektif individu asing, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman, berkata pemain memiliki pengaruh besar dalam menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu program.

"Terlebih dahulu, kami perlu memahami budaya di sini.

"Mungkin pendekatan berbeza perlu diketengahkan di Malaysia berbanding di negara lain. Itulah yang perlu disesuaikan oleh kami," katanya.

Paulus memiliki pengalaman luas sebagai jurulatih yang pernah menawarkan sentuhannya di negara kelahirannya, Indonesia di samping Filipina dan kini, Malaysia.

Bersama Malaysia, cabaran besar yang beliau hadapi adalah keperluan menangani perwatakan pemain senior seperti Tan Wee Kiong dan Goh V Shem.

Apa yang dikongsi Paulus itu memberi gambaran bahawa Choong Hann mempunyai kelebihan besar dalam keupayaan menambat hati warga tempatan dalam skuad kebangsaan.

"Sebagai jurulatih, jika seseorang atlet itu mempunyai kesedaran disiplin, itu lebih bagus.

"Itu semua berbalik kepada pemain sendiri walaupun ia sememangnya sebahagian daripada tanggungjawab jurulatih.

"Bagaimanapun, kedua-duanya saling berkait rapat," katanya.