Choong Hann dilantik pengarah kejurulatihan BAM 

Oleh Bernama 20 Oktober 2018 992
Choong Hann dilantik pengarah kejurulatihan BAM 
Bekas pemain perseorangan badminton negara, Wong Choong Hann, dilantik sebagai pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkuatkuasa 1 Januari depan.

Perkara itu diumumkan presiden badan induk badminton negara, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat agung luar biasa (EGM) BAM, hari ini.

Mohamad Norza berkata BAM telah meneliti beberapa nama lain sebelum membuat keputusan berkenaan selain melihat kepada kedudukan daripada segi kewangan dan situasi semasa persatuan itu.

“Kami senarai pendek tiga calon. Akhirnya semua bersetuju melantik Choong Hann untuk jawatan berkenaan.

“Kami mencari pengarah kejurulatihan yang mampu menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran struktur latihan dan jurulatih sedia ada di BAM sekarang,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza yang juga presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata sudah pasti percaturan BAM melantik Choong Hann adalah untuk persiapan skuad negara menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. 

“Tugas utama beliau semestinya membantu skuad negara memburu pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik.

“Namun, untuk meletakkan KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) itu, kita perlu duduk berbincang dengan beliau kerana saya percaya Choong Hann juga perlu melihat keadaan semasa daripada segi prestasi pemain,” katanya.

Untuk rekod, banyak kejayaan diraih Choong Hann semasa bergelar pemain, antaranya pingat perak Kejohanan Dunia 2003 di Birmingham, England; dua kali membantu skuad negara layak ke final Piala Thomas (1998 dan 2002) serta pernah menjadi pemain nombor satu dunia pada Ogos 2002 dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Choong Hann yang kini berada di luar negara menganggap pelantikan ini sebagai satu penghormatan, dengan pemilihannya menyaksikan BAM mengetepikan calon berprofil tinggi seperti ketua jurulatih Thailand, Rexy Mainaky.

Malah beliau berasakan tiada sebarang masalah untuk bekerjasama dengan jurulatuh lebih senior dan berpengaruh dalam skuad kebangsaan.

"Saya tidak sabar untuk bekerjasama bersama BAM bagi merapatkan lagi jurang kualiti pemain dalam saingan antarabangsa," kata Choong Hann.

"Saya menjangkakan tanggungjawab yang besar apabila mereka menawarkan jawatan ini tetapi saya akan menerima cabaran ini untuk melonjakkan semula mutu permainan skuad negara."

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen