Pelantikan Wong Choong Hann sebagai Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan menjadi realiti jika beliau tidak berupaya meraih rasa hormat jurulatih senior, malah dijangka memulakan tugas rasmi seawal bulan ini.

Ini perkembangan terkini daripada kem negara memandangkan Choong Hann sebelum ini dijadual memulakan tugas pada Januari 2019.

Maklum balas positif jurulatih senior seperti ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek, meyakinkan BAM untuk melantik Choong Hann.

Malah, beliau disahkan bakal diberikan kuasa penuh melaksanakan program berbanding Pengarah Teknikal, Morten Frost, sebelum ini.

"Kami memberikan kuasa penuh kepada Choong Hann untuk menghasilkan kerjasama dengan barisan jurulatih ketika mengendalikan latihan," kata Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai.

Choong Hann juga boleh menjadikan program prestasi tinggi baru sukan negara sebagai kelebihan.

Badminton berada dalam tiga daripada emapat peringkat tumpuan inisiatif tersebut.

"Kami berharap selepas ini, BAM dapat menghasilkan 10 pemain yang bersaing dalam Sukan Olimpik, beberapa pemain lain pula akan memberikan tumpuan dalam saingan seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA."