Perubahan sistem mata dalam sukan badminton seperti yang dicadangkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mendapat reaksi berbeza buat barisan pemain negara, apatah lagi ia masih belum diaplikasikan secara menyeluruh dalam kejohanan besar dunia.

Secara peribadi, Datuk Lee Chong Wei berasakan perubahan sistem mata daripada 21 kepada 11 mata bakal memberi saingan lebih sengit dan cabaran berbeza.

Apatah lagi, selepas Olimpik Rio 2016, badminton mula dipandang sebagai satu acara sukan yang mempunyai jumlah penonton yang besar oleh pihak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

BWF turut melihat cadangan penukaran sistem mata tersebut mampu menjadikan sukan itu lebih menarik.

"Bagi saya, ia sangat baik kerana ia akan memendekkan tempoh masa permainan.

"Sebelum ini, ia memerlukan satu jam untuk menamatkan dua set tetapi mungkin sistem 11 mata ini akan memakan masa lebih singkat," kata Chong Wei.

Namun ceritanya berbeza daripada perseorangan wanita, Goh Jin Wei, yang tidak bersetuju andai sistem itu terlaksana.

Jin Wei sendiri pernah menjadi mangsa sistem itu apabila tewas dalam pusingan pertama Terbuka Taiwan, Oktober lalu.

Sistem mata yang berubah memberi kesukaran buat pemain dengan tempo permainan yang lebih singkat.

"Permainan 11 mata mungkin lebih sukar kerana saya memerlukan masa yang panjang untuk memanaskan badan.

"Jika ketinggalan 3-0, mungkin perlu mengejar dengan lebih cepat jika hanya bermain 11 mata berbanding 21 mata.

"Ia juga akan memberi kelebihan kepada pemain lebih berpengalaman," ujarnya.

Badminton Asia pada Jumaat menetapkan akan terus mengkaji perubahan yang dicadangkan oleh BWF sebelum memuktamadkannya pada Mei 2017.