Chong Wei telah pamer aksi terbaik

Oleh Penulis Jemputan 18 Disember 2017 3152
Chong Wei telah pamer aksi terbaik
Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, mengakui sudah memberikan aksi terbaiknya untuk mengalahkan pemain Denmark, Viktor Axelsen, dalam final Siri Super Akhir, namun akur dengan kehebatan lawan yang tampil lebih menyerlah untuk memenangi perlawanan, semalam.

Chong Wei pada mulanya mempunyai peluang cerah untuk merangkul gelaran kelima kejohanan selepas menang set pertama 21-19. Namun, dia gagal mengekalkan momentum apabila tumpas 19-21 dalam set kedua.

Beraksi dalam set penentuan, tahap kecergasan menjadi penghalang utama Chong Wei apabila terpaksa akur dengan kekalahan 15-21, sekali gus memastikan kemenangan milik Axelsen. 

Lebih malang, kekalahan itu menyaksikan Chong Wei terlepas peluang untuk kembali menduduki ranking nombor satu dunia selepas kehilangan status itu Jun lalu.

“Saya telah memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan ini dan Axelsen turut mempamerkan persembahan yang cemerlang,” kata Chong Wei.

"Ini merupakan kejohanan terakhir untuk tahun ini, saya akan kembali menjalani latihan untuk membuat persiapan bagi tahun seterusnya."

“Saya berasakan Chong Wei telah bermain dengan baik," kata jurulatih skuad badminton negara, Tey Seu Bock. " Tetapi Axelsen harus diberikan pujian di atas kejayaan meraih gelaran Siri Super Akhir ini.” 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen