Datuk Lee Chong Wei membuktikan prestasi hanya bersifat sementara dan keunggulan adalah kekal apabila mengakhiri kemarau kejuaraan dengan menawan Siri Super Terbuka Hong Kong di Kowloon, semalam.

Kini, dia bersedia untuk menamatkan musim 2017 dengan keyakinan tinggi dalam Siri Super Akhir di Dubai dari 13 hingga 17 Disember ini.

Kejuaraan terakhir Chong Wei adalah dalam Seluruh England pada Mac lalu, dan apa yang menyusul selepas itu adalah siri episod duka.

Final menentang Chen Long di Hong Kong juga membuktikan dia tidak lagi dibelenggu badi penyingkiran awal dalam beberapa kejohanan, termasuk Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos lalu.

Pertemuan dengan jaguh China itu adalah kali pertama sejak mereka berentap dalam final Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

"Selepas Kejohanan Dunia, tiada lagi perlawanan yang baik bagi saya. Kali ini, saya dapat apa yang dimahukan. Saya melakukan tugas yang terbaik di Hong Kong.

"Ini adalah saat penting bagi saya untuk mendapatkan keyakinan dan rentak permainan saya," katanya.

Aksi di Hong Kong juga menawarkan keterujaan berbeza buat peminat badminton tanah air. Dalam perlawanan suku akhir, dia bangkit daripada ketinggalan 3-11 menentang Son Wan-Ho pada set kedua untuk menang 21-11 dan 21-12.

"Sudah tiga, empat bulan saya tidak berada dalam permainan baik. Kali ini, saya melakukan dengan baik dalam setiap pukulan.

"Saya tidak fikir menang atau kalah (dalam Terbuka Hong Kong) tetapi saya hanya fokus dalam permainan saya," ujarnya.

Kejayaan itu turut meniup nafas baru buat Chong Wei apabila mengesahkan penyertaannya di Dubai nanti.

"Bukan senang untuk beraksi dalam Siri Super Akhir ini. Selepas itu, saya akan bercuti panjang bersama keluarga dan tahun depan saya akan memulakan kempen dalam Seluruh England," tambahnya.