Pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, kini dicanang sebagai prospek pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang ditunda ke Julai 2021.

Dengan itu, seorang legenda badminton negara bersedia menghulurkan bantuan sekiranya kudratnya diperlukan untuk memastikan keunggulan Zii Jia dalam temasya itu.

Zii Jia hampir menjejakkan kaki ke pentas final Kejohanan Seluruh England sebelum tumpas kepada Victor Axelsen dalam separuh akhir yang mendebarkan bulan lalu.

Dan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, turut terkesan dengan kekalahan itu dan bersedia untuk membantu Zii Jia seandainya itu yang diperlukan jaguh muda berkenaan.

"Saya tidak boleh suka-suka masuk dalam BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Saya akan mencuba untuk berbincang dengan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, dan jurulatih Hendrawan tentang bagaimana kami boleh membantu Lee Zii Jia," katanya dalam satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.

"Saya menonton aksinya dalam Seluruh England. Bukan berpuas hati tetapi gembira dengan prestasinya."

Chong Wei juga berasakan gelaran Seluruh England sebenarnya sudah dalam genggaman Zii Jia seandainya pertemuan separuh akhir pada 14 Mac lalu itu memihak wakil negara berkenaan.

"Saya akan berbincang dengan jurulatihnya untuk membantunya.

"Saya fikir penundaan (Sukan Olimpik) selama setahun ini baik untuk Zii Jia.

"Kita dapat lihat prestasi sebenarnya dalam separuh akhir Seluruh England.

"Dia sudah hampir menang dan jika dia dapat mara ke final pada waktu itu, saya fikir dia sepatutnya menjadi juara," tambahnya.