Chong Wei pulang ke Malaysia esok -- Norza

Oleh Bernama 6 Oktober 2018 226
Chong Wei pulang ke Malaysia esok -- Norza
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, akan kembali ke tanah air esok selepas menjalani rawatan perubatan untuk kanser hidung tahap awal di Taiwan, demikian disahkan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

“Saya ingin memaklumkan kepada anda bahwa Chong Wei telah diberi kebenaran oleh pasukan perubatannya untuk pulang ke Kuala Lumpur esok. 

“Bagi pihak  BAM, saya menggesa pengamal media dan orang awam umumnya untuk menghormati privasi beliau dan keluarga beliau,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Semalam, Mohamad Norza mengumumkan pemain nombor lima dunia itu akan terus berada di Taiwan untuk membolehkan doktor memantau perkembangannya sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia.

“Merujuk kepada laporan berita berhubung kepulangan Chong Wei dari Taiwan, saya telah bercakap dengan legenda badminton Malaysia berusia 36 tahun itu pada Rabu, dan pada ketika itu beliau belum mendapat pelepasan perubatan,” katanya.

Beberapa media tempatan sebelum ini melaporkan Chong Wei akan pulang ke tanah air Ahad ini.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen