Pemain badminton perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei, sedar dia perlu bijak menggunakan pengalaman yang dimiliki apabila berdepan seorang lagi pemain muda, Kantaphon Wangcharoenm, dari Thailand dalam saingan suku akhir Terbuka Indonesia, hari ini.

Pada usia 36 tahun, Chong Wei merupakan pemain paling senior jika dibandingkan dengan nama lain yang layak ke suku akhir perseorangan lelaki.

Juara enam kali itu perlu bijak mengimbangi kepantasan dan stamina lawan bagi membolehkannya memecahkan rekod pemain paling banyak menjuarai Terbuka Indonesia.

Dia juga sedar apa yang perlu dilakukan apabila berdepan lawan seperti Wangcharoenm.

"Sememangnya saya bekerja lebih keras kerana jika beradu tenaga sewaktu menentang pemain-pemain muda, ia akan memberikan masalah buat saya.

"Saya akan cuba yang terbaik dan berjuang untuk diri sendiri," katanya.

Dalam aksi pusingan kedua, Chong Wei menewaskan pemain muda Denmark, Anders Antonsen, 21-12, 21-15, sekali gus meletakkannya di landasan tepat untuk mengekalkan rentak kemenangan selepas menjuarai Terbuka Malaysia, minggu lalu.

"Saya akan melihat semula aksi sebelum ini bersama jurulatih untuk memperbaiki kelemahan. Dalam masa sama, saya gembira dengan sokongan yang diterima di sini."