Datuk Lee Chong Wei enggan kekalahan pertama dalam Siri Super Akhir mengganggu rentak untuk dia kembali bangkit dalam baki dua perlawanan peringkat kumpulan.

Chong Wei akur tempoh hampir dua bulan tanpa aksi kompetitif, menggugat kemampuannya untuk segera mencari rentak di dalam gelanggang.

Malah, pelbagai strategi, termasuk memperlahankan tempo permainan, ketika menentang Son Wan Ho semalam tidak berkesan sebelum dia kecundang dalam aksi straight sets, 21-10, 21-16.

Perlawanan kedua hari ini menyaksikan Chong Wei berentap menentang perseorangan Hong Kong, Angus Ng Ka Long.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-duanya, Chong Wei belum pernah tewas di tangan Angus dalam empat pertemuan sebelum ini, dengan kali terakhir mereka berentap adalah dalam Siri Super Premier Terbuka Indonesia, Jun lalu.

Chong Wei juga perlu memastikan kemenangan dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang perseorangan Denmark, Victor Axelsen, untuk menempah tiket ke separuh akhir di Dubai ini.

"Saya masih belum mendapat rentak sebenarnya sebelum ini tetapi ketika ini saya rasa lebih baik. Saya masih mempunyai dua perlawanan lagi," ujar Chong Wei.

Sementara itu, beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, berdepan misi sukar dalam mengelak penyingkiran.

Vivian dan Khe Wei akan turun menentang gandingan Korea Selatan, Shin Seung Chan/Jung Kyeung Eun dalam aksi kedua peringkat kumpulan hari ini.

Perlawanan pembuka tirai kempen Vivian dan Khe Wei berakhir dengan duka apabila mereka kecundang kepada beregu Denmark.

Bagi Khe Wei, elemen yang berupaya memastikan mereka kekal di Dubai adalah keyakinan mengatasi lawan lebih sukar.

"Memang kita perlu yakin kerana jika tidak, sukar untuk menempuh perlawanan seterusnya.

"Saya rasa selepas ini kami perlu tingkatkan permainan kami kerana pada permulaan perlawanan, aksi kami agak lambat," ujar Khe Wei.

Dalam pada itu, pertemuan menentang Seung Chan dan Kyeung Eun adalah pertemuan kedua buat wakil negara di mana mereka tewas ketika pertemuan pertama sebelum ini.

Vivian berasakan perincian lebih taktikal diperlukan untuk mengatasi beregu dari Korea Selatan itu.

"Ketika di China, kami pernah bertemu sekali. Selepas ini, kami akan melihat kembali permainan mereka bagi mencari jalan untuk mengatasi mereka," kata Vivian.