Himpunan cabaran daripada penggantungan doping sehingga siri kecederaan yang hampir meragut kerjayanya tetap tidak boleh menyamai cabaran bintang badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, daripada perjuangan terbesar seumur hidup.

Sewaktu ditemui wartawan Nadi Arena, Ahmed Shahrazad Sani, Chong Wei akhirnya membuka mulut menceritakan detik dia disahkan menghadapi kanser hidung.

"Ketika itu, saya baru pulang daripada latihan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia dan hanya berehat kerana kepenatan sebelum menyambung sesi tengah hari. Apabila bangun tidur, isteri saya menangis apabila ditanya jika doktor ada menghubungi.

"Saya tahu sesuatu yang buruk berlaku dan hanya terduduk di atas sofa sambil menangis," kata Chong Wei.

"Doktor mencadangkan agar saya melakukan rawatan di Taiwan. Apabila tiba di sana, doktor di sana menjelaskan kanser hidung ibarat penyakit demam di sana.

"Saya tidak malu tentang penyakit ini kerana ia bukan sesuatu yang saya inginkan. Ia bukan mudah. Saya masih tidak dapat bercakap dalam minggu ketiga, hanya minum susu tetapi tidak boleh menelan kerana bahagian bawah rahang sudah pecah.

"Sampai masa nanti, saya akan kongsikan lebih banyak mengenainya."