Chong Wei kembali dua minggu lagi

Oleh Staff Writer 4 Disember 2018 163
Chong Wei kembali dua minggu lagi
Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, dijangka kembali berlatih di gelanggang dalam tempoh dua minggu sahaja lagi.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai, berhubung kepulangan Chong Wei ke gelanggang bulan ini. 

Chong Wei, yang sebelum ini disahkan menghidap kanser hidung, kini hanya menjalani latihan ringan secara bersendirian dan telah menyuarakan hasrat untuk segera kembali ke Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara dalam tempoh dua minggu.  

"Sehingga semalam, dia memberitahu mahu kembali ke gelanggang. Waktunya belum pasti tetapi saya rasa dalam bulan ini," ujar Chin Chai.

Sementara itu, BAM telah menerima tajaan sebuah bas model Scania daripada Bank Rakyat buat julung kalinya yang telah dirasmikan oleh Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, hari ini. 

Tajaan selama dua tahun itu dilaporkan membabitkan kos sebanyak RM250,000. 

"Ia memudahkan kami dalam situasi seperti membawa pemain ke lapangan terbang atau mana-mana kejohanan. Saya menjangkakan tajaan ini membuatkan BAM mampu berjimat hampir RM100,000 setahun," kata Norza.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen