Chong Wei kembali beraksi dua bulan lagi

Oleh Staff Writer 31 Oktober 2019 12401
Chong Wei kembali beraksi dua bulan lagi
Datuk Lee Chong Wei bakal keluar daripada persaraan tetapi hanya untuk satu aksi pertunjukan khas buat peminat badminton tanah air, hujung tahun ini.

Perkembangan itu  disahkan pemain beregu campuran kebangsaan yang membentuk skuad badminton negara ketika saingan Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Chong Wei, Chan Peng Soon.

Turut melengkapkan pertunjukan khas itu adalah gandingan Peng Soon, Goh Liu Ying, serta perseorangan lelaki nombor satu Indonesia, Jonatan Christie.

Pertunjukan yang dianjurkan Kelab Badminton Ampang Jaya itu dijadualkan berlangsung pada 28 Disember ini bermula jam 7 malam di Genting Highlands.

"Saya sangat gembira dapat sertainya selepas dia bersara. Ia membolehkan semua peminat melihat dia beraksi dalam gelanggang," katanya.

Bagaimanapun, persaraan Chong Wei menyaksikan pemain dalam kem kebangsaan masih gagal untuk memenangi sebarang kejuaraan terbuka di pentas tertinggi Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ironinya, catatan kejuaraan buat badminton Malaysia datang daripada kem profesional seperti Peng Soon-Liu Ying dan beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Goh V Shem.

"Saya lihat mereka mungkin tidak dapat peluang atau terlalu risau. Tekanan juga satu kemungkinan. Saya hanya boleh katakan agar mereka tidak berputus asa. Setiap peluang dalam kejohanan perlu fokus dan jangan lepaskan kesempatan itu," tambah Peng Soon.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen