Chong Wei ke separuh akhir di sebalik kekalahan 

Oleh Penulis Jemputan 15 Disember 2017 13086
Chong Wei ke separuh akhir di sebalik kekalahan 
Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, tewas dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan A, Siri Super Final di Dubai biarpun mempamerkan penguasaan dalam set pertama sebelum dihambat lawan, Son Wan-ho, menerusi pertarungan tiga set, sebentar tadi. 

Begitupun, Chong Wei tetap memastikan kemaraan sebagai juara kumpulan untuk aksi separuh akhir, esok. 

Kemenangan ke atas lawan yang sama dalam suku akhir Terbuka Hong Kong, bulan lalu, menyemarakkan lagi api perjuangan Chong Wei untuk mengukir satu lagi kemenangan. 

Tahun lalu, pemain dari Korea Selatan itu menundukkan Chong Wei di peringkat kumpulan menerusi kemenangan straight set, namun tidak mampu menyaingi jaguh negara itu dalam set pertama. 

Biarpun cuba memberikan tentangan pada pertengahan aksi, Chong Wei mempamerkan ketangkasan untuk menang 21-13. 

Berbekalkan semangat juang yang semakin membara, Chong Wei mengorak permainan set kedua dengan cemerlang, seolah-olah tahu dengan kelemahan ketara pihak lawan untuk dia mengutip mata demi mata sehingga mendahului 15-6. 

Namun, situasi menjadi semakin cemas buat Chong Wei apabila Wan-ho mula bangkit untuk mengikat kedudukan 20-20 sebelum pemain Korea itu  menang 22-20. 

Tertekan oleh kekuatan mental yang dipamerkan Wan-ho, Chong Wei terus longlai diasak pencabarnya itu dalam set penentuan sehingga ketinggalan 11-7 sebelum pemain nombor lima dunia itu terus cemerlang memuktamadkan kemenangan 21-15. 

Dalam aksi petang tadi, pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, tunduk kepada pasangan suami isteri dari England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock, 21-13, 21-16 untuk kekalahan ketiga berturut-turut mereka dalam Kumpulan B. Tempat mereka dalam separuh akhir sudahpun tertutup selepas tewas buat kali kedua semalam. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen