Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, mahu juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei, lebih yakin dengan kemampuan diri untuk tampil lebih kompetitif dalam kejohanan peringkat senior tahun depan.

Chong Wei turut mengingatkan Jin Wei bahawa perjalanan pemain berusia 18 tahun itu masih jauh dan dia mahu melihat prestasi Jin Wei semakin meningkat dan matang dalam kejohanan yang lebih tinggi di masa akan datang.

Pemain senior itu turut memuji prestasi Jin Wei yang konsisten selepas memenangi pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina, bulan lalu.

"Memenangi pingat itu (juara dunia) adalah satu suntikan semangat untuk Jin Wei meraih lebih banyak kejayaan selepas ini. Kemenangan itu dapat meningkatkan keyakinannya di gelanggang.

"Jin Wei juga perlu banyak lagi menimba pengalaman. Jurulatih Seu Bock (Datuk Tey Seu Bock) telah membimbingnya dengan cemerlang dan sebagai pemain, dia tidak boleh sia-siakan pengalaman itu,” katanya.

Jin Wei mengharumkan nama Malaysia apabila meraih kejuaraan dalam Kejohanan Remaja Dunia BWF di Markham, Kanada. Pemain pilihan ketiga itu menampilkan aksi bertenaga dengan menewaskan pilihan ke-13, Line Christophersen dari Denmark, 21-13, 21-11.

Anak jati Pulau Pinang itu pernah menjuarai kejohanan sama pada 2015 setelah menewaskan rakan senegara, Lee Ying Ying, dalam final di Peru.

Chong Wei berkata Jin Wei perlu sedar walaupun sudah meraih gelaran juara remaja dunia, perlawanan sebenar yang akan menguji kemampuan pemain itu adalah di peringkat senior kerana menantinya di gelanggang adalah pemain terkemuka dunia.

Jelasnya, acara perseorangan wanita lebih mencabar kerana saingan tidak tertumpu kepada satu negara sahaja tetapi ramai seperti Tai Tzu Ying (Taiwan), Ratchanok Intanon (Thailand), dua pemain Jepun, Akane Yamaguchi dan Nozomi Okuhara, Carolina Marin (Sepanyol) dan pemain India, Pusarla V. Sindhu.

Chong Wei berkata gelaran juara remaja dunia adalah permulaan baik dalam kerjaya pemain itu dan percaya jika terus konsisten, peluang untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah cerah.

Justeru, dia menyifatkan Jin Wei sebagai pemain harapan negara dan tidak mustahil untuknya mencapai kejayaan besar dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

-- BERNAMA