Perseorangan badminton wanita negara, Goh Jin Wei, mendedahkan jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei, merupakan isnpirasi terbesarnya dalam sukan badminton.

Dalam satu temu bual dalam Nadi@1 sebentar tadi, Jin Wei berkongsi detik manisnya bersama Chong Wei sambil mengharapkan ikon tersebut kembali sihat melawan komplikasi kesihatan yang dihidapinya.

"Ketika saya berusia 10 tahun, terdapat satu acara kebajikan yang dijalankan di Pulau Pinang.

"Itu merupakan kali pertama saya bertemu Datuk Lee Chong Wei.

"Walaupun dalam pertandingan empat lawan satu, kami masih tewas kepadanya," ujar Jin Wei dalam mengingati memori kali pertama pertemuannya dengan Chong Wei.

"Selepas menyertai skuad kebangsaan, Datuk Lee kerap memberi tunjuk ajar kepada saya sewaktu latihan, terutama daripada aspek taktikal dan strategi," tambahnya.

Astro Arena menerusi inisiatif kempen #UntukSaya menyediakan platform bagi peminat tanah air memberikan sokongan buat Chong Wei dalam memerangi penyakit kanser yang dihidapinya.

Jin Wei pada masa sama turut mendoakan kesejahteraan Chong Wei dalam perjuangan menghadapi penyakit tersebut.

"Saya mula mengetahui tentang penyakit beliau bulan lalu.

"Saya amat terkejut dan tidak mahu mempercayai khabar tersebut.

"Saya sangat risau dengan keadaannya.

"Tanpanya saya rasakan satu kehilangan yang besar.

"Saya harap dia dapat segera sihat, bukan untuk kembali ke gelanggang tetapi cukup sekadar dia kembali pulih daripada segi kesihatan," katanya.