Datuk Lee Chong Wei perlu menerima hakikat dia sudah berusia 35 tahun demi mengatasi belenggu mental jika mahu menamatkan kemarau kejuaraan.

Itu pandangan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, yang turut menegaskan waktu untuk pemain lain mengiringi Chong Wei ke kejohanan elit dunia sudah semakin hampir.

Chong Wei akan menginjak usia 35 tahun pada 21 Oktober ini, sehari sebelum final Siri Super Premier Terbuka Denmark.

Berdasarkan pengamatan Misbun, Chong Wei adalah pemain lebih baik berbanding penyingkiran pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia, Ogos lalu.

Tetapi, dia menyampaikan peringatan berharga buat anak didiknya itu yang akan berangkat ke Odense, esok.

"Dia memperlihatkan peningkatan daripada segi pertukaran kepantasan permainan.

"Apa yang kita harapkan, dia jangan terlalu banyak berfikir pada usianya ketika ini. Kadang-kadang orang di sekeliling membuatkan dia berfikiran negatif.

"Ia membawa kepada kemusnahan permainannya.

"Pada umur ketika ini, dia mampu menampilkan permainan hebat," kata Misbun.

Misbun juga mahu peminat badminton tanah air memahami tiada istilah memeram pemain dalam latihan pusat sahaja.

Mereka giat menjalani persiapan rapi dalam meningkatkan ranking agar tidak terkulai awal dalam saingan bertaraf Grand Prix (GP) Emas dan Siri Super.

"Perancangan sebaik mungkin perlu dibuat mengikut ranking dunia dan kejohanan. Tiada guna kami menghantar wakil yang dirasakan nak menang dalam pusingan pertama pun begitu sukar.

"Lebih baik kami menggunakan beberapa bulan ini untuk membetulkan krebiliti mereka."