Datuk Lee Chong Wei berada dalam pengembaraan tersendiri manakala misi untuk mengembalikan prestij perseorangan lelaki negara kini di bahu pemain lain.

Siapa berupaya menjangkakan gelaran dunia musim ini serta takhta nombor satu dunia kini milik pemain perseorangan dari Denmark, Viktor Axelsen.

China juga bukan satu-satunya negara yang memiliki pemain berganda dalam ranking 20 terbaik dunia.

India, misalnya, memiliki empat pemain dalam senarai itu, termasuk K. Srikanth yang sudah mengecapi empat gelaran Siri Super dan H.S. Prannoy pula berupaya membuatkan Chong Wei berduka.

Atas dasar itu, Malaysia perlu terus menaruh keyakinan terhadap ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, untuk membentuk pemain yang boleh berada dalam kelompok elit.

"Dalam kelompok 20 pemain terbaik dunia, empat pemain India ada di sana.

"Sudah pasti kami mahu pemain negara berada di peringkat tertinggi. Berikan kami masa dan ia akan datang," kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria.

Barisan pemain muda negara seperti Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao juga memiliki apa yang semakin hilang daripada Chong Wei, iaitu usia dan juga kudrat untuk menyesuaikan diri dengan aksi kompetitif badminton yang semakin agresif.

"Perancangan untuk membawa masuk beliau (Misbun) ialah untuk memastikan pemain selepas era Chong Wei.

"Kita mempunyai Leong Jun Hao, Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin. Kita akan lihat macam mana perkembangannya selepas ini," katanya lagi.