Chong Wei belum kibar bendera putih

Oleh Penulis Jemputan 9 Oktober 2017 347
Chong Wei belum kibar bendera putih
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, tidak menyangka masih mampu menghabiskan masa di gelanggang demi negara meskipun sedar perjuangannya kini dicabar beberapa pemain muda bertaraf dunia.

Tatkala usianya bakal menjengah usia 35 tahun pada 21 Oktober ini, semangat juang yang kian meningkat terus dipamerkan oleh pemain nombor satu negara itu untuk terus beraksi.

Walaupun dicabar oleh peningkatan pemain-pemain muda seperti Viktor Axelson dan K. Srikanth di pentas antarabangsa, Chong Wei menganggap itu asam garam yang perlu dilalui setiap atlet tanpa perlu mengangkat bendera putih selagi mampu.

"Memang umur saya semakin meningkat, pemulihan juga semakin lambat. Ia normal. Saya akan tumpukan kepada perancangan dan jurulatih akan membantu saya.

"Institut Sukan Negara (ISN) juga banyak membantu dan pakar fisoterapi juga akan mengikuti saya ke mana-mana kejohanan. Umur saya penting untuk sains sukan," katanya.

Menjelang aksi Terbuka Denmark pada 17 Oktober ini, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu tidak menolak ingin meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya dengan gelaran juara di samping ingin cuba melakukan rekod pukulan terpantas sekali lagi selepas mencatat 417km/j dalam Terbuka Jepun.

"Keputusan undian sudah keluar, jadi saya akan bermain pusingan demi pusingan. Memang kita tahu lawan adalah sukar kepada sesiapa dan saya akan berbincang dengan jurulatih untuk perlawanan demi perlawanan," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen