Timbalan Presiden, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, yakin ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, akan segera pulih daripada kecederaan pangkal paha dan bangkit daripada kekalahan menjelang Terbuka Perancis bermula hari ini.

Tanpa diduga, Chong Wei kalah kepada pemain tidak ternama dari Perancis, Brice Leverdez, dalam suku akhir Terbuka Denmark minggu lalu.

Menuju ke kejohanan Siri Super Akhir di Dubai pada Disember, spekulasi mula tersebar mengenai kemampuan Chong Wei.

Bukan mahu memberikan alasan, Norza segera menegaskan kekalahan tempoh hari adalah disebabkan kecederaan dan yakin pemain nombor satu Malaysia itu mampu bangkit di Terbuka Perancis untuk menutup mulut pengkritik.

“Itu merupakan perlawanan yang buruk Chong Wei dan perkara ini sering berlaku.

"Saya telah bertanyakan mengenai persiapan Terbuka Perancis, Chong Wei memberitahu dia sudah bersedia.

"Saya berpendapat Chong Wei akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan gelaran,” kata Norza.

Dalam masa yang sama, Norza juga amat gembira dengan peningkatan prestasi beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Kejayaan menjuarai Terbuka Denmark dan mengesahkan slot ke Siri Super Akhir di Dubai adalah satu penanda aras Malaysia sudah mempunyai pemain lain yang boleh disandarkan harapan selain Chong Wei.

“Sebelum ini, Chong Wei merupakan harapan akhir negara, kali ini kita dapat lihat beregu negara kita dapat menggalas tugas itu, jadi saya berharap pemain-pemain lain untuk mempertingkatkan kualiti permainan mereka.”