Chong Ming: Skuad beregu akan bangkit

Oleh Penulis Jemputan 3 Disember 2017 93
Chong Ming: Skuad beregu akan bangkit
Bekas pemain beregu elit kebangsaan, Chan Chong Ming, tidak meragui skuad beregu lelaki negara akan bangkit memacu misi Malaysia untuk layak ke Piala Thomas 2018.

Chong Ming bersama gandingannya, Chew Choon Eng, adalah antara gandingan yang paling hampir menamatkan kemarau kejuaraan Piala Thomas bersama skuad edisi 2002 yang tewas kepada Indonesia dalam final.

Bezanya, skuad beregu lelaki waktu itu dan ketika ini adalah ketiadaan dua beregu yang menawarkan keyakinan menyumbangkan mata.

Tetapi Chong Ming mahu peminat badminton tanah air memberikan masa kepada gandingan senior seperti Goh V Shem-Teo Ee Yi dan Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin untuk memenuhi potensi menjelang kelayakan ke Piala Thomas 2018 dalam Kejohanan Berpasukan Asia, Februari depan.

"Mereka masih lagi menyesuaikan diri dengan gaya permainan masing-masing untuk menjadi gandingan yang mantap," katanya.

Sementara itu, Chong Ming juga menawarkan pandangan terhadap perubahan dalam aksi beregu lelaki di pentas tertinggi dunia.

Ia sesuatu yang perlu diperinci beregu lelaki negara ketika pasangan veteran dari Denmark, Mathias Boe dan Carsten Mogensen, pada usia 37 dan 34 tahun, berupaya kekal dalam kelompok tiga terbaik dunia.

"Saingan beregu sekarang lebih pantas, tepat dan sangat agresif. Sistem mata 21 ini ternyata memberikan impak yang besar," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen