China dan Indonesia dijangka mengikuti langkah Malaysia dalam menolak bidaan menjadi tuan rumah kejohanan elit Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi kalendar 2019-2025.

Prestij menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Dunia, Piala Thomas dan Uber serta Piala Sudirman tidak membawa keuntungan buat badan penganjur.

Sebaliknya, manfaat yang memihak kepada BWF menyaksikan negara berstatus gergasi badminton dunia itu menolak peluang untuk membida.

"Modul yang dicadangkan BWF amat berat sebelah.

"Kejohanan utama sepatutnya menjadi perhatian banyak negara untuk dianjurkan.

"Namun, perkara sebaliknya berlaku," kata Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Kenny Goh.

Kali terakhir Malaysia menjadi penganjur kejohanan elit itu adalah menerusi Piala Sudirman 2013.

Meskipun bakal tersisih daripada menjadi tumpuan dunia, keutamaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah untuk memburu pulangan menerusi prestasi dalam gelanggang.

"Kami tidak melakukan apa-apa usaha untuk menganjurkan kejohanan-kejohanan besar akan datang.

"Fokus kami hanyalah kepada Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia.

"Apa yang penting adalah kami sedang berusaha meningkatkan kualiti pemain dan memburu pingat emas pertama Sukan Olimpik," kata Pengurus Besar BAM, Michelle Chai.