Jika anda seorang peminat sukan badminton, anda mungkin pernah mendengar nama Lim Chi Wing.

Suatu ketika dahulu, juara dua kali Kejohanan Badminton Kebangsaan pada 2016 dan 2017 itu pernah dicanang sebagai pengganti kepada legenda sukan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 25 tahun itu meninggalkan skuad kebangsaan pada Ogos tahun lalu dan selepas setahun menyepi, dia akhirnya membuka bicara mengenai sebab dia mengambil keputusan itu.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, dia berkata: "Saya rasa kejayaan menjuarai dua kejohanan kebangsaan itu sudah berlalu, jadi kini saya adalah Lim Chi Wing yang baru dan bukannya juara dua kali Kejohanan Kebangsaan.

"(Ketika itu) keputusan di peringkat antarabangsa juga tidak begitu bagus dan sesi latihan dalm skuad kebangsaan juga tidak berapa menggembirakan kerana susah-susah saya berlatih, apabila dalam kejohanan, saya hanya layak setakat pusingan pertama dan kedua.

"Saya tidak dapat memberikan prestasi terbaik di dalam gelanggang dan semangat saya semakin malap untuk terus bersaing

"Jurulatih juga sudah banyak kali memberikan peluang dan tidak mahu saya terlalu tertekan.

"Tetapi saya dapat rasa mereka juga tertekan kerana saya tidak dapat memberikan prestasi terbaik.

"Orang atasan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) juga akan memberikan mereka tekanan kerana saya tidak dapat memberikan prestasi terbaik.

"Saya tidak berapa sedih (meninggalkan skuad kebangsaan) kerana saya sudah lama berada dalam BAM dan pernah terfikir untuk meninggalkan BAM tetapi masih bertahan untuk terus mencuba.

"Selepas beberapa tahun bertahan, akhirnya saya membuat keputusan untuk keluar dan ia melegakan" katanya.

Mengulas mengenai keadaan terkininya, Chi Wing menambah: "Selepas saya keluar daripada BAM, saya seperti hilang dan selepas setahun, saya berfikir sebaik-baiknya sebelum menyertai pasukan baru.

"Sebab di Malaysia tidak ramai pemain perseorangan yang bagus," katanya.