Cheras BC memastikan mahkota Junior Purple League menjadi milik mereka selepas menumbangkan Puchong United BC 13-5 dalam final di Sports Arena Puchong, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Rashid Sidek itu berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di sepanjang saingan kali ini.

Cheras BC menggunakan kesempatan menentang Puchong United BC yang berada di kedudukan tercorot untuk mengutip kemenangan kelapan musim ini apabila Syafiq Iqbal Nadzri mudah menewaskan pemain berusia 12 tahun, Wong Hong Meng, 3-0 dalam perseorangan lelaki.

Kemenangan Syafiq diteruskan oleh pasangan beregu wanita, Benyapa Aimsaard dan Kam Wei Li, yang mudah menundukkan Chang Yong Wei-Hoe Shi Yun 3-1, namun beregu campuran menyaksikan Muhd Amir Mohd Sani-Ng Wan Win tewas 1-3 di tangan Aiman Mustaqim Shabuddin-Ng Qi Xuan.

Bagaimanapun, hasrat Puchong United BC untuk meneruskan kebangkitan terpaksa dilupakan selepas Nuntakarn Aimsaard mudah mengungguli perseorangan wanita dengan kemenangan 3-0 sebelum Mohd Aizat Mohd Azib-Muhd Faris Zaim Abdul Khalid mengesahkan kemenangan mutlak buat Cheras BC apabila menewaskan Chung Kin Wai-Justin Hoh Shou Wei 3-1, sekaligus memberikan kemenangan 13-5 buat anak buah Rashid untuk menjuarai saingan Divisyen 1.

“Kami tidak menyangka dapat memenangi kesemua perlawanan dan aksi mudah sebegini. Kami hanya memiliki dua pemain import dari Thailand dan selebihnya adalah pemain-pemain tempatan,” kata Rashid.