Jurulatih beregu negara, Pang Cheh Chang, teruja mengikuti perkembangan Tan Wee Kiong dan Goh V Shem meskipun tidak lagi mengendalikan program latihan pasangan itu.

Cheh Chang menjangkakan Wee Kiong dan V Shem akan menjadi tumpuan utama peminat badminton tanah air pada masa hadapan.

Jelas, tidak ramai yang mengetahui sumbangan Cheah Chang dalam membentuk gandingan yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio itu.

Ketika mengendalikan program beregu lelaki, jurulatih berkenaan mengambil keputusan untuk menguji keserasian dua pemain itu dalam Piala Thomas 2014.

Kerjaya Wee Kiong dan V Shem kemudian diperhalusi seorang lagi jurulatih, Jeremy Gan, sehingga mereka bergelar finalis Olimpik Rio, memenangi Siri Super pertama di Denmark dan berada di ranking no. 2 dunia.

"Sudah tentu saya gembira untuk mereka kerana ia keputusan yang saya buat. Saya tengok dua pemain ini mempunyai kemahuan untuk menjadi juara. Mereka memerlukan bimbingan.

"Kalau mereka memenangi emas (Sukan Olimpik), sudah tentu ia sejarah baru untuk kita, tetapi sayang. Saya rasa mereka sudah tahu bagaimana untuk mempersiapkan diri dalam Olimpik seterusnya," katanya.

Beregu lelaki negara yang mula digandingkan sejak Mei 2014 itu masih mempunyai dua lagi kejohahan untuk melengkapkan kalendar Siri Super 2016, iaitu di Terbuka China pada 15-20 November dan Terbuka Hong Kong, 22-27 November.