Jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Poh Chai Boon, memuji keberkesanan program Kem Badminton Astro yang berjaya melahirkan pemain remaja terbaik sehingga pasukannya bergelar juara di Kejohanan Badminton Jemputan SSBJ 2016, hari ini.

SSBJ, yang menentang pasukan dari Thailand dalam final bawah 17 tahun, berdepan tentangan sengit sebelum kejuaraan menjadi milik mereka dengan mengungguli empat daripada tujuh acara keseluruhan.

Chai Boon turut memuji aksi daripada 23 bekas peserta Kem Badminton Astro yang mewakili SSBJ kerana berjaya membantu pasukan dari awal perlawanan meskipun mereka tidak bermain dalam aksi final.

Katanya, ia turut memberikan pengalaman berguna buat barisan pemain remaja ini yang telah berdepan beberapa perlawanan menentang skuad dari luar negara.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Astro kerana memberi peluang kepada pemain-pemain ini. Diharapkan pemain SSBJ menghargainya kerana ia dapat membantu menaikkan tahap permainan mereka," kata Chai Boon.

Apakah kita akan dapat melihat lebih ramai produk Kem Badminton Astro beraksi di pentas saingan tempatan, malah antarabangsa pada masa hadapan?

Yang pasti, Kem Badminton Astro 2016 akan kembali tidak lama lagi dengan program latihan lanjutan di luar negara, khususnya di Tokyo, Jepun, dari 16 hingga 29 November ini.