Seramai 171 pemain memulakan saingan Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan Zon B di Kuala Terengganu yang bermula semalam.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Badminton Terengganu (PBNT), Azmi Mamat, sebanyak tiga kategori utama dipertandingkan dalam kejohanan anjuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu.

Selain kategori utama bawah 16 tahun, turut diadakan ialah kategori bawah 14 serta bawah 16 tahun yang disertai pemain-pemain dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah.

“Selangor mempertaruhkan barisan pemain teramai dengan 49 pemain, diikuti Kedah (38), Terengganu (35), Negeri Sembilan (29) dan 20 pemain dari Kelantan bagi kesemua kategori.

“Selaku tuan rumah, saya berharap wakil Terengganu dapat bersaing dengan pemain-pemain lain, sekali gus melangkah ke sirkit seterusnya di Kedah pada bulan Mei,” jelas Azmi.

Saingan hari ini menyaksikan pilihan utama bawah 16 tahun lelaki, Chua Jin Yang, melepasi halangan pusingan kedua selepas menewaskan wakil Kedah, Mohd Roslan Mohamed Faris Amrin, 21-7, 21-18.

Nasib berbeza dialami pilihan kedua, Abd Rahman Mohd Erfan, yang dikejutkan pemain Selangor, Jimmy Wong, dengan kekalahan 12-21, 14-21.

Dalam kategori perempuan bawah 16 tahun pula, pilihan pertama dari Kelantan, Chu Ai Fei, turut tidak bernasib baik selepas tumpas 17-21, 18-21 kepada Loh Zhi Wei dari Selangor.

Pilihan kedua kategori itu, L. Karupathevan, pula tidak bermasalah mara ke suku akhir apabila menundukkan Loh Wei Zea.