Sandaran tunggal Malaysia dalam Terbuka Singapura menerusi beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, terkandas di peringkat separuh akhir selepas tewas kepada beregu Thailand dalam aksi tiga set, petang tadi.

Kian Meng-Pei Jing berdepan tekanan besar untuk beraksi baik berikutan semua wakil negara yang lain sudah tersingkir.

Mereka berdepan tentangan sengit daripada Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dalam set pertama sebelum menang 21-18.

Dalam set kedua, semuanya serba tidak menjadi buat pasangan negara apabila membenarkan lawan bangkit menerusi permainan lebih agresif yang mendorong kemenangan mudah 21-11 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Gandingan bukan pilihan kejohanan dari Thailand itu meneruskan rentak cemerlang dalam set ketiga.

Biarpun Kian Meng-Pei Jing dapat memberi saingan pada awal permainan, Puavaranukroh-Taerattanachai meningkatkan permainan mereka dan terus mengasak Pei Jing yang banyak melakukan kesilapan untuk menghadiahkan mata kepada pihak lawan.

Akhirnya, pasangan beregu negara terpaksa menyerah kalah 14-21 selepas bertarung selama 66 minit.