Ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek, menganggap tiada alasan buat barisan pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk melepaskan peluang meraih gelaran di laman sendiri menjelang Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia di Perlis bermula Selasa ini.

Saingan edisi 2018 menyaksikan kem negara cemerlang mengaut semua gelaran kecuali perseorangan lelaki yang akur menjadi naib johan menerusi Tan Jia Wei.

Justeru, Misbun sudah mempersiapkan barisan pemainnya untuk cuba memastikan kekecewaan tahun lalu dapat ditebus dengan Soong Joo Ven muncul selaku pilihan pertama kejohanan.

"Pemain sedang menuju ke arah persiapan akhir.

"Kami tidak tahu strategi dan keupayaan pemain-pemain lain terhadap pertandingan ini. Saya berharap semua keputusan akan menyebelahi kami," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Antara sandaran dalam kem perseorangan lelaki negara kali ini sudah semestinya pemain muda yang meningkat naik, Lim Chong King, yang memburu gelaran keduanya bagi tahun ini.

Pemain berusia 19 tahun itu sebelum ini sudah pun mendakap satu kejuaraan dalam Terbuka Hellas, Greece, dan aksi di Perlis minggu depan bakal menjadi pemangkin untuk dirinya yang turut akan membuat penampilan sulung dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

"Saya berhasrat menimba pengalaman dengan menentang pemain lebih handal.

"Saya kini giat memantapkan aspek fizikal dan kepantasan bagi menghadapi Sukan SEA kerana bakal berdepan pemain yang lebih senior," kata pemain di ranking ke-215 dunia itu.