Pemain perseorangan negara, Cheam June Wei, membuat kejutan apabila menewaskan pemain China, Zhou Ze Qi, untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019 di Kangar hari ini.

June Wei menundukkan pilihan kedua itu 21-15, 16-21, 21-16 dalam aksi suku akhir.

Ketua jurulatih lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, ketika ditemui Bernama memuji aksi yang ditunjukkan anak buahnya itu yang tidak gugup meskipun tewas dalam set kedua.

“Dia bijak mengatur langkah dalam set ketiga dengan menyerap serangan pihak lawan,” katanya.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, yang gagal menempah tiket ke separuh akhir.

Pilihan utama kejohanan itu tunduk kepada pasangan Jepun, Hiromi Midorikawa-Natsu Saito, 19-21, 12-21.

Pang Ron ketika ditemui menzahirkan kekecewaan dengan kekalahan itu kerana meletakkan harapan untuk memenangi kejohanan berkenaan.

"Beregu yang kami lawan hari ini pernah kami temui sebelum ini. Ada yang menang dan pernah juga kalah,” katanya sambil menambah mereka akan menguatkan semangat dan berusaha lebih keras untuk mengharumkan nama negara pada masa depan.

Mereka akan menyertai kejohanan antarabangsa di Mumbai, India minggu depan.

-- BERNAMA