Persatuan Badminton Dunia (BWF), selepas mendapatkan nasihat dan persetujuan dengan pihak penganjur, Badminton Denmark, memutuskan untuk menunda Kejohanan Badminton Piala Thomas dan Piala Uber 2020 di Aarhus, Denmark, demikian disahkan badan induk badminton dunia itu dalam satu kenyataan.

Menurut BWF, keputusan itu terpaksa diambil berikutan penarikan diri kebanyakan pasukan selain perubahan dalam kalendar Jelajah Dunia BWF tahun ini.

Disebabkan kebimbangan mengenai pandemik COVID-19 masih mengancam kesejahteraan global, ramai negara peserta memilih untuk tidak mengambil bahagian dan BWF menghormati keputusan itu.

Ia bermakna, kejohanan berpasukan yang sepatutnya berlangsung pada 3 hingga 11 Oktober ini, terpaksa ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan tahun depan.