Bekas pengarah prestasi tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj, menggesa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk segera mencari kaedah terbaik membabitkan format kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2021 setelah kebanyakkan pemain berada dalam kebingungan.

Sehingga kini BWF sudah menunda semua kejohanan di bawah badan induk itu sehingga bulan Julai.

Ia bakal mengakibatkan penstrukturan semula yang padat di hujung tahun, mengambil kira faktor wabak Covid-19 ini akan berakhir dalam tempoh itu.

Namun, impaknya terhadap barisan pemain, apatah lagi sehingga kini BWF masih mengunci mulut mengenai sistem kelayakan Olimpik yang telah pun ditunda Julai 2021.

BWF bagaimanapun sudah membekukan semua ranking pemain dunia dan remaja dalam usaha mencari kaedah terbaik untuk tentukan format kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Pemain-pemain ketika ini tidak mengetahui hala tuju mereka. Jika tidak beraksi dalam tempoh tiga bulan, tahap kecergasan serta kemahiran teknikal perlu diasah semula," kata James.

Setakat ini, hanya saingan Piala Thomas dan Uber sahaja sudah dipinda ke satu tarikh tetap iaitu 15 hingga 23 Ogos di Aarhus, Denmark.

"BWF memerlukan penyediaan pelan yang lebih terperinci untuk saingan Piala Thomas dan Uber. Satu pertandingan diperlukan setiap pemain menghadapi saingan tersebut."