Boon Heong: Kami pernah lupa diri

Oleh Nafis Abdullah 26 Mei 2020 12442
Boon Heong: Kami pernah lupa diri
Bekas beregu nombor satu negara, Tan Boon Heong, berharap pemain badminton masa kini tidak akan cepat lupa diri dan belajar dengan kesilapan yang telah dilalui.

Berganding bersama Koo Kien Keat menyaksikan pasangan itu berjaya mencapai kejayaan muncul juara Kejohanan Seluruh England sambil menamatkan penantian 13 tahun negara untuk melangkah ke final Kejohanan Dunia pada 2010 di Paris, Perancis.

Namun, walaupun menghargai tempoh bergandingan dengan Kien Keat, Boon Heong mengakui mereka pernah lupa diri sehingga mengabaikan aspek disiplin termasuk ketika menerima sentuhan jurulatih dari Indonesia, Rexy Mainaky.

"Luar gelanggang kami sekadar kawan biasa tetapi saya sentiasa menghormati Kien Keat walaupun kadangkala ada bertengkar mengenai corak permainan masing-masing," ujar Boon Heong.

"Rexy seorang jurulatih yang bagus dan membentuk disiplin pemain. Cuma, ketika muda, kami lebih pentingkan populariti sehingga mengganggu disiplin," tambah Boon Heong. 

"Sewaktu kami menduduki ranking pertama, kami tidak mendengar nasihat dan ia merupakan kesilapan kami. Apabila bergelar jurulatih, disiplin adalah perkara penting."

Dalam masa sama, Boon Heong tidak menolak akan bergelar jurulatih negara satu hari nanti dan nada sama disuarakan Kien Keat.

Namun, bekas pemain berusia 34 tahun itu berharap dia dapat kembali menyertai kem negara dalam keadaan sudah memiliki kewangan yang kukuh bagi mengelakkan sebarang isu.

"Saya rasa kebanyakan pemain beregu lelaki, bukan sahaja dari Malaysia tetapi dari negara luar seperti China atau Indonesia, mereka bukan kawan yang baik. Mereka berkawan biasa," kata Kien Keat.

"Sewaktu berusia sekitar 18 atau 19 tahun, kami sentiasa menantikan peluang untuk bergelar pemain senior. Ia menjadi motivasi kami untuk meraih kejayaan bagi membantu senior mencapai apa diimpikan.

"Kepuasan sewaktu menjadi jurulatih adalah sama dengan pemain. Apabila pemain menang, jurulatih juga nikmati kemenangan.

"Kalau satu hari nanti dipanggil oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), saya harap kewangan saya ampuh pada waktu itu kerana saya tidak mahu wang atau gaji menjadi sebab utama ke sana."
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen