'Biar Malaysia dilihat budak belasahan hari ini supaya esok matang sebagai juara' menjadi sentimen yang menyaksikan skuad muda dipertaruhkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam Kejohanan berpasukan Asia bulan depan.

Pandangan itu dilontarkan bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj, yang menegaskan kepentingan untuk badan itu berpegang kepada dasar membentuk semula purata usia dalam skuad kebangsaan berdasarkan bakat muda.

Malaysia memiliki keselesaan untuk layak ke pusingan akhir Piala Thomas menerusi kuota ranking berpasukan dunia.

Atas sebab itu, Kejohanan Berpasukan Asia kali ini berupaya menjadi medan berharga kepada skuad muda yang mungkin menjadi pasukan belasahan kepada gergasi dunia seperti China dan Jepun.

"Pertaruhkan skuad muda untuk menentang barisan nama senior daripada negara lain, pemain negara perlu belajar.

"Apa yang saya mahu jelaskan di sini, apabila anda menghantar skuad muda, pemain perlu faham apa sebab mereka dihantar dalam kejohanan itu dan mereka harus beraksi di tahap terbaik.

"Apabila dapat melakukannya, ia bermaksud mereka telah lakukan yang terbaik tetapi jika sebaliknya, ia memberi satu peluang," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut melihat penyenaraian beregu profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, sebagai pendekatan tepat daripada BAM dalam mengamalkan dasar pintu terbuka.

"Saya fikir mereka juga bagus, cuma pemain sebelum ini digugurkan kerana tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Namun, saya fikir mereka mempunyai masa depan cerah. Bawa mereka kembali dan pastikan mereka beraksi di tahap terbaik.

"Jika bagus, bawa semula ke dalam pasukan. Buktikan BAM bukan sekadar mahu mengetepikan mereka. Pemain perlu belajar, kembali dan buktikan kemampuan sebenar," tambah James.




Editor: Nafis Abdullah