Berpasukan Badminton Asia: Malaysia cipta sejarah, mara ke final

Oleh Ammar Hakim 15 Februari 2020 13615
Berpasukan Badminton Asia: Malaysia cipta sejarah, mara ke final
Skuad badminton lelaki negara melakar sejarah apabila melangkah ke final Kejohanan Berpasukan Badminton Asia buat pertama kali, sebentar tadi.

Kejayaan itu hadir selepas skuad negara, yang sudah meraih slot automatik ke pusingan akhir Piala Thomas 2020 Mei ini, menundukkan Jepun 3-0 dalam separuh akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Rizal Memorial di Manila, Filipina.

Kapten negara, Lee Zii Jia, yang turun sebagai perseorangan pertama terus mencipta sensasi apabila menewaskan Kanta Tsuneyama 21-11, 8-21, 21-11 dan mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan edisi ini sejak aksi peringkat kumpulan.

"Saya mengawal set pertama, berjaya menemui rentak ketika menyerang dan bertahan. Tsuneyama berusaha untuk bangkit dalam set kedua dan berjaya menyamakan kedudukan," kata Zii Jia.

"Dalam set ketiga, saya kembali mengatur perancangan serta strategi dan berjaya memastikan kemenangan pertama buat Malaysia."

Beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, turut cemerlang apabila menyumbang mata kedua pasukan selepas mengetepikan cabaran Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 21-15.

"Secara taktikal, kami berjaya bermain dengan cemerlang dan menang perlawanan ini. Setiap perancangan yang telah ditetapkan telah berjaya dipamerkan di atas gelanggang," kata Wooi Yik.

Pemain perseorangan kedua, Cheam June Wei, mencipta kejutan apabila melengkapkan kemenangan skuad negara menerusi kejayaan menumbangkan Kenta Nishimoto yang menghuni ranking ke-13 dunia 21-19, 3-21, 21-12.

"Saya sangat gembira dengan prestasi hari ini. Mengatasi Nishimoto dalam perlawanan ini cukup manis kerana telah tewas kepadanya dalam kejohanan terdahulu," kata June Wei.

"Melangkah ke final sangat penting buat Malaysia kerana skuad negara yang dibarisi pemain-pemain muda. Kami telah membuktikan kemampuan sebenar dan sangat gembira dengan persembahan ini."

"Kami akan berehat terlebih dahulu hari ini sebelum menghadapi aksi final esok berdepan Indonesia."

Malaysia bakal berdepan juara bertahan Indonesia dalam aksi final selepas juara bertahan itu mengatasi India 3-1.

(Imej: Badminton Asia)

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen