Pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo, tetap berwaspada dengan ancaman Hong Kong selaku lawan pertama dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Manila bulan depan walaupun mengatasi salah satu wakil negara itu dalam Kejohanan Masters Thailand minggu lalu.

Gandingan Vivian dan Yap Cheng Wen mempamerkan aksi cemerlang untuk ke suku akhir kejohanan di Thailand itu.

Walaupun mereka menewaskan gandingan Hong Kong, Ng Tsz Yau-Yuen Sin Ying, dalam pusingan kedua, ia bukan alasan untuk mereka memandang mudah negara itu dalam Kejohanan Berpasukan Asia.

"Apa yang penting ketika ini adalah fokus terhadap permainan kami sendiri.

"Kerana di Thailand sebelum ini, kami dapat mengubah corak permainan kami.

"Jadi, saya harap kami dapat meneruskan prestasi terbaik.

"Saya menjangkakan aksi sengit dengan Hong Kong," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, menjelaskan setiap pemain telah dimaklumkan mengenai risiko wabak koronavirus dan cara pencegahannya.

Badan induk ini juga akan memantau setiap situasi dalam kejohanan di luar negara dan tidak akan membuat sebarang keputusan drastik buat masa ini.

"Sejujurnya, saya masih belum dapat memberikan jawapan dan kami berharap situasinya akan terkawal.

"Kami akan sentiasa berkomunikasi dengan BWF (Persekutuan Badminton Dunia) dan Badminton Asia untuk mendapatkan lebih banyak informasi," katanya.



Editor: Muzaffar Musa