Skuad wanita negara akan memastikan ketiadaan Hong Kong dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia tidak menjadi masalah untuk menyerlahkan prestasi sebenar berdepan Jepun dalam aksi tunggal peringkat kumpulan.

Hong Kong dan China antara pasukan yang tidak berupaya menghantar wakil ke kejohanan tersebut berdasarkan dasar kerajaan Filipina dalam menangani wabak koronavirus.

Meskipun perkembangan itu mengesahkan laluan skuad wanita ke suku akhir, namun ia mengurangkan satu aksi yang bersifat kompetitif.

Perseorangan nombor satu negara, Soniia Cheah, bagaimanapun memberi jaminan Malaysia tidak akan merelakan kekalahan kepada juara bertahan Piala Uber, Jepun, apabila mereka mencongak perhitungan Khamis ini.

"Saya berasakan ia adalah perlawanan pemanas badan ketika bertemu Jepun sebelum menghadapi suku akhir. Kami tidak akan mengambil mudah dan mahu mencipta kejutan," katanya.




Editor: Ammar Hakim