Skuad badminton lelaki negara mengulangi pencapaian dua tahun lalu dalam Kejohanan Berpasukan Asia apabila melangkah ke separuh akhir hari ini.

Kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan di Manila itu juga menyaksikan Malaysia menempah tiket secara merit ke Piala Thomas, Mei depan.

Turun selaku taruhan terbaik negara, perseorangan utama, Lee Zii Jia, hanya memerlukan 35 minit untuk membuka hari gemilang Malaysia dengan kemenangan 21-9, 21-14 ke atas Heo Kwang Hee.

"Bukan mudah untuk bersaing.

"Walaupun nampak seperti tiada tandingan tetapi untuk mencuri mata daripadanya (Kwang Hee) memang susah.

"Mujur saya masih boleh bertahan dan amat gembira dengan kemenangan ini," katanya.

Kecemerlangan itu diteruskan oleh pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang tidak berdepan masalah untuk menumbangkan beregu lawan, Choi Solgyu-Kim Won Ho, 19-21, 14-21.

"Zii Jia mendapatkan mata pertama, jadi ia memberikan motivasi kepada kami," kata Aaron.

"Kami dapat menenangkan fikiran kami dalam perlawanan ini."

Dan kejayaan Malaysia disahkan dengan kejutan daripada Cheam June Wei, yang tanpa diduga menewaskan perseorangan veteran Korea Selatan, Son Wan Ho, 21-18, 9-21, 21-14.

"Saya agak gembira kerana hari ini merupakan kali pertama saya mengejutkan pemain handalan dunia.

"Walaupun baru kembali daripada kecederaan, saya sekurang-kurangnya dapat membuktikan sesuatu," katanya.