Keinginan skuad badminton lelaki negara mencipta sejarah di Manila, Filipina musnah selepas tewas 3-1 di tangan Indonesia dalam aksi final Kejohanan Berpasukan Asia, sebentar tadi.

Selepas mencipta sensasi susulan kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan dan Jepun ketika saingan suku akhir dan separuh akhir, Malaysia mempertaruhkan perseorangan nombor satu, Lee Zii Jia, menentang Anthony Ginting.

Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun itu bergelut untuk mencabar rentak pemain ranking kelima dunia itu sebelum tewas straight set 20-22, 16-21 sekali gus harapan tinggi digalas wakil beregu untuk menyamakan kedudukan.

Berdepan gandingan nombor satu dunia, Marcus Gideon-Kevin Sanjaya, ternyata Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tidak mampu membutirkan harapan buat Malaysia susulan kekalahan 20-22, 16-21.

Perseorangan kedua, Cheam June Wei, menghidupkan peluang buat negara apabila mengungguli set pertama 21-16 ketika menentang pemenang pingat emas Sukan Sukan Asia 2018, Jonatan Christie.

Biarpun pemain berusia 22 tahun, Christie, mengheret perlawanan ke set penentuan susulan kemenangan 21-17, June Wei mempamerkan aksi memukau, bangkit daripada ketinggalan 20-17 sebelum menamatkan aksi ketiga 24-22.

Namun, harapan tinggi yang ditanggung Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk menyamakan kedudukan jelas tidak dapat digalas dengan sempurna apabila tewas 18-21, 17-21 di tangan Fajar Alfian-Mohammad Ahsan sekali gus menyaksikan Malaysia terlepas peluang untuk muncul juara Kejohanan Berpasukan Asia.

"Saya rasa semua pemain telah beraksi dengan baik tetapi masih ada ruang perlu diperbaiki. Mengenai Anthony, dia sememangnya memiliki kepantasan dan saya sering terikut-ikut rentaknya," kata Zii Jia.

"Agak kecewa kerana tidak berjaya kali ini. Kami harus perbaiki persembahan," tambah Wooi Yik.

"Saya agak gementar ketika awal permainan tetapi saya fikir lawan juga tertekan. Namun, nasib baik menyebelahi saya untuk memberikan satu mata buat Malaysia," ujar June Wei.

Editor: Nafis Abdullah