Berpasukan Asia: Ee Yi-Yew Sin bukti masih relevan

Oleh Staff Writer 7 Februari 2020 839
Berpasukan Asia: Ee Yi-Yew Sin bukti masih relevan
Lamaran buat beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, daripada skuad kebangsaan untuk ke Kejohanan Berpasukan Asia di Filipina minggu depan menjadi bukti bahawa mereka masih relevan sebagai prospek utama untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Ee Yi dan Yew Sin melalui bulan Januari yang naik-turun apabila disingkirkan daripada skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, mereka disenaraikan untuk ke Filipina pada 24 Januari lalu sebelum memenangi Kejohanan Terbuka Thailand dua hari kemudian.

Ee Yi dan Yew Sin, yang menyertai kem latihan kebangsaan sebelum ke Manila, Ahad ini, menegaskan mereka bukanlah "bintang untuk dijulang" tetapi merupakan sebahagian daripada unit yang membawa nama Malaysia bagi memburu tiket ke Piala Thomas di Denmark, Mei depan.

"Ketika menerima panggilan itu, kami tidaklah begitu terkejut kerana jurulatih baru kami memang ada berbincang mengenainya," kata Ee Yi.

"Jika mendapat panggilan, kami memang akan bermain untuk BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

"Kami tidak mahu terlalu tertekan untuk mendapatkan mata daripada beregu lelaki kerana pencabar lain dari Thailand dan Singapura juga agak kuat.

"Jadi, ia perlawanan 50-50," katanya.

Peluang beregu profesional itu untuk merebut tike ket Sukan Olimpik semakin bersinar.

Ia kerana pencabar mereka, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, akan terlepas tiga kejohanan penting yang menawarkan mata kelayakan, termasuk Kejohanan Seluruh England bulan depan.

"Memang penting juga untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik kerana semua orang memang mahu menyertai kejohanan untuk melayakkan diri ke temasya itu.

"Tiada apa-apa kelebihan kerana kami rasa sesiapa sahaja yang terpilih pasti (beregu) yang terbaik buat Malaysia," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen