Beregu lelaki utama negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik selepas berhempas-pulas menundukkan pasangan England, Marcus Ellis-Chris Langridge, dalam aksi yang berlangsung tiga set.

Kemenangan yang dilakar V Shem-Wee Kiong tidak diraih dengan mudah kerana mereka berdepan detik-detik mendebarkan.

Selepas tewas mudah set pertama 16-21, pasangan Malaysia itu terpaksa bekerja keras dalam saingan seterusnya untuk menang 23-21, sebelum memastikan kemaraan ke suku akhir dengan kemenangan 21-12 dalam set ketiga.

"Set pertama dan kedua memang agak sengit tetapi kami dapat menanganinya dan bangkit. Ia memberikan pengajaran yang bagus," kata Wee Kiong.

Sementara itu, beregu kedua negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, memaksa juara bertahan, Marcus Gideon-Kevin Sukamuljo, bertarung hampir 60 minit sebelum menyerah kalah dalam tiga set.

Pasangan negara itu tewas set pertama 17-21, sebelum menyamakan kedudukan menerusi catatan 22-20 dalam set kedua, namun tumbang dalam set ketiga 13-21.

"Kami berpeluang tetapi aksi kurang baik membuatkan kami tewas," ujar Yew Sin.

"Lawan nyata menggunakan kelebihan servis yang pantas untuk mengatasi kami tanpa memberikan sebarang ruang," tambah Ee Yi.