Barisan pemain senior kongsi kenangan di KLBA

Oleh Ammar Hakim 11 Jun 2020 62
Barisan pemain senior kongsi kenangan di KLBA
Naik LRT untuk ke Stadium Badminton Kuala Lumpur dan dipaksa berlari mengelilingi kawasan venue ikonik tersebut antara memori alumni terkenal yang lahir daripada Akademi Badminton Kuala Lumpur KLBA.

Kenangan yang mustahil untuk wujud buat generasi muda berpangkalan di Wilayah Persekutuan dengan ketiadaan sebuah akademi di bawah badan induk itu.

"Saya bermain badminton di KLBA ketika berusia tujuh tahun sehingga 15 tahun. Ia merupakan venue yang sangat bersejarah bagi saya di sana. Saya berharap terdapat jalan penyelesaian bagi status KLBA," kata perseorangan negara, Liew Daren.

"Kenangan terindah bermain di KLBA ketika saya mewakili negeri, saya banyak beraksi dalam acara beregu, ketika itu bergandingan bersama Shevon Lai Jemie dan beraksi cemerlang di peringkat kebangsaan," kata perseorangan wanita negara, Soniia Cheah.

"Selepas tamat sekolah rendah, saya menaiki LRT untuk berlatih di KLBA. Saya berharap akademi baru akan dibina bagi membenarkan serta melahirkan lebih ramai pemain badminton Kuala Lumpur," kata pemain beregu profesional negara, Goh V Shem.

Bekas pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei yang turut berkongsikan pengalamannya di KLBA dalam Nadi Arena, dia berkata, "Banyak kenangan yang saya peroleh beraksi di KLBA antaranya saingan Siri Super dan Siri Super Akhir."

Sehingga hari ini, KLBA menanti kata putus ke atas status pembinaan akademi baru berhampiran tapak lama Stadium Badminton Kuala Lumpur yang ditelan arus pembangunan lebih dua tahun lalu.

Realiti yang diharapkan alumni-alumni ini untuk direalisasikan secepat mungkin demi meneruskan legasi ditinggalkan mereka.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen